Tuesday, January 27, 2009

Mimpi di siang hari , mimpi yang tak sudah

MB Perak 'nyanyi lagu mimpi yang tak sudah'

Ekoran tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) kawasan Bota, Datuk Nasharuddin Hashim keluar parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), ia seolah-olah memberikan kekuatan baru kepada Menteri Besar Perak untuk terus melancarkan perang sarafnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang selama ini berhadapan dengan isu pemberian status tanah 999 tahun kepada penduduk Kampung Baru serta dikatakan menjadi Menteri Besar dibawah telunjuk DAP, menjadikan tindakan Nasharuddin itu sebagai peluru untuk menutup mulut lawan politiknya.

Terbaru, hari Isnin, beliau mendakwa tiga lagi ADUN BN di negeri itu akan melompat parti bagi menyertai pakatan pembangkang.

Malah bagi menguatkan hujahnya, ketiga-tiga ADUN berkenaan dikatakan sedang berbincang dengan pihak pakatannya.

“Kita sedang berurusan. Perbincangan mengenainya sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Perak di Ipoh.

Malah beliau ketika ditanya siapakah ADUN yang terbabit berkata, semua ADUN yang terlibat adalah daripada UMNO.

Sementara beliau menyatakan rundingan sedang berlangsung, semua ADUN BN khususnya daripada UMNO telah berada di Kuala Lumpur bagi mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Perang saraf Nizar tersebut mengingatkan bagaimana 16 September dikatakan tarikh keramat sejarah besar baru akan berlaku di Malaysia tetapi akhirnya berkesudahan dengan lagu Ibnor Riza “Mimpi Yang Tak Sudah”. – 26/1/2009

No comments:

Blog Archive

About Me

Sulaiman Hj Japar. No 56c Jalan Suda Setia, Air Suda. 33300 Gerik Perak Malaysia